July 18, 2008

Kata Hati

Hari demi hari akhbar dan berita di TV semakin memualkan. Aku bosan dan bertambah bosan. Seperti tiada cerita lain untuk dilaporkan. Apa nak jadi dengan negara aku ini?

Aku ingin mengajak sahabat handai sekelian, tidak mengira apa parti politik yang anda sokong atau pemimpin mana yang anda puja. Beristighfarlah. Kemudian beristifgfar lagi. Dan kemudian ulang sekali lagi. Selepas itu, tariklah nafas yang panjang, dalam-dalam dan hembuskan kembali perlahan-lahan.

Ingin sekali aku mengingatkan rakan-rakan sekelian, apa saja tindak tanduk kita menjadi perhatian. Tutur kata kita ditimbang dan dinilai. Riak muka kita ditunggu-tunggu. Dan perhatian ini diberikan oleh semua orang yang tersentuh oleh kehidupan kita. Tidak kira ahli keluarga, sahabat, rakan sekerja atau pun rakan dari internet dan orang-orang yang tidak kita kenali.

Adalah menjadi kerugian sekiranya kita lupa diri. Adalah besar kesilapan sekiranya mengagung-agungkan manusia. Kita semua berpelajaran. Ramai antara anda yang lebih berpengetahuan dari aku. Ramai lagi yang lebih dalam pengetahuan agama. Tapi aku pelik kenapa tindak-tanduk dan kata-katamu tak selaras dengan tingkat persijilanmu. Adakah kerana pemikiranmu tidak selaras dengan kelulusan atau umur yang telah dilewati? Di mana kematangan?

Tolonglah. Hentikan kegilaan ini. Tak sanggup lagi aku membaca dan menontonnya. Tidak ada gunanya anda bermati-matian menyokong pemimpin yang mungkin tidak sedar pun kewujudan anda di bumi bertuah ini. INGAT! Kita, sebagai rakyat bukan lah alat permainan untuk ahli-ahli politik mencapai tujuan mereka. Bahkan, yang sebenar-benarnya, kitalah majikan mereka. Duit kita digunakan untuk membayar gaji dan kesenangan mereka. Mereka seharusnya mendengar apa yang kita katakan.

Dan aku katakan di sini. Aku tidak ingin pemimpin-pemimpin yang asyik berbalah sesama sendiri dan menunding jari. Selesaikan pertikaian peribadi anda antara anda. Tidak perlu dikomersialisasikan. Tidak perlu menjadi perhatian. Aku sudah bosan. Ramai yang sudah bosan.

Kawan-kawan sekelian, lihatlah keadaan di rumah yang dihormati. Badut-badut pilihan kita tidak membuat kerja. Bahkan asyik membuang masa. Seharusnya mereka ini memperjuangkan hak kita. Seharusnya mereka meninggalkan parti apabila melangkah masuk ke dewan mulia itu. Dewan itu milik rakyat. Dan mereka adalah wakil yang seharusnya membentangkan suara rakyat.

Aku juga katakan di sini. Tiada perlunya berkumpul di sana sini yang menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Tidak terpikirkah anda sumpah seranah yang anda terima kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas, kerana melewatkan perjalan orang-orang yang tiada kena mengena. Bayangkan berapa ramai yang anda perlu jumpa dan minta maaf kepadanya. Dan bayangkan, berapa ramai yang tak mungkin menerima kata maaf darimu.

Ingatlah kembali, jika kesalahan kita antara kita dan Tuhan yang satu, kita hanya perlu memohon maaf pada Dia. Terus dan telus. Tiada perantaraan. Tetapi jika kesalahan sesama manusia, alangkah payahnya. Fikir-fikirkan.

Jadi kesimpulannya, janganlah kita mengagung-agungkan manusia. Tidak kira sama ada dia pemimpin parti politik, atau ahli agama atau pun penyanyi kegemaran. Mereka juga adalah manusia biasa dan tidak terelak dari melakukan kesilapan. Hanya satu sahaja yang boleh diagungkan dan Dia bukan lah Yang DiPertuan Agong. Dialah Tuhan yang satu.

Oleh itu, berakhirlah tulisan spiritual aku untuk servis sosial pada kali ini.

Sila layari:
Hilang Halatuju, Tenggelam Dalam Isu

3 comments:

Anonymous said...

jade, jom la kita g parlimen.. meh kita "basuh" semua org2 kt sana.. kdg2.. org2 ni.. terlalu TAKSUB sgt dgn seseorg..
pd aku.. mana yg salah, kita salahkan.. mana yg btl.. kita ikutkan.. negara ada undang2.. kalau rakyat sendiri x nk ikut, sapa nk ikut?

Anonymous said...

Salaaam. Alhamdulillah, yupp saya amat setuju agar kita tidak mengagung2kan makhluk, yang sepatutnya di agungkan hanya lah pencipta kita. Pemimpin hanya melaksanakan amanah dari rakyat.

Asas perbalahan sesama manusia adalah kerana wujudnya iblis & syaitan, kerana mereka selamanya tidak akan redha dan senang dengan Anak2 Adam dan manusia terlalu ikut emosi .

Dan wujudnya perbalahan sesama Islam kerana, jom kita baca dan hayati maksud hadith di bawah

"Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri“. Hadith Riwayat Ibnu Majah

Peace and justice for all :)

Wallahu a'lam

gravtkills said...

betul betul...bila la nak keluar news tolong org sana sini for the country instead of all these rubbish...hidup malaysia...until when i duno