Pagi 3 Ramadhan yang nyaman, membuatkan aku terlepas sahur! Lantas aku berdoa supaya aku berjaya menempuh hari itu dengan tabah. Eh, kita tak akan tahu, bukan? Kita mungkin tewas? ;-)
Cik Pah telah memberitahuku sejak hari Khamis lagi yang dia dan temannya akan turun ke KL pada hari Sabtu. Temannya akan menghadiri satu mesyuarat perniagaan di ibukota, dan Cik Pah ingin bermalam di rumahku. Aku segera memberitahunya tentang rancanganku pada hari Sabtu. Aku telah merancang untuk mengajak Si Capal Perak untuk berbuka bersama. Aku ingin menyediakan juadah berbuka kerana aku tahu dia sudah lama merindui masakan di rumah. Cik Pah menyatakan persetujuan kerana dia juga tidak sanggup untuk menempuh orang ramai sekiranya makan di luar.
Pagi semalam, aku menerima pesanan ringkas dari Cik Pah yang mengatakan dia akan tiba lewat di KL. Perancangan awal, mereka akan bertolak selepas sahur. Tetapi kerana ada beberapa tugas yang perlu diselesaikan, mereka akan bertolak hanya pada tengahari. Dan aku menjangkakan Cik Pah akan tiba dalam pukul 4 petang.
Pukul 2.30. Si Capal Perak tiba untuk membawaku ke kedai untuk membeli barang-barang masakan. Dia sudah terliur apabila aku memberitahunya menu pada hari itu. Ikan siakap masam manis, toufu telur dalam sos tiram dan asparagus goreng pedas. Kami ke Bangsar Grocer kerana aku suka kesegaran bahan basah di situ. Si Capal Perak dengan ragu-ragu bertanya padaku kemungkinan kesegaran sehingga petang itu adalah sesuatu yang tidak baik, tapi aku yakin, sekiranya bahan kimia diletakkan, mata sang ikan pasti masih bertukar merah.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku mendapat satu pesanan ringkas dari Cik Pah mengatakan dia akan tiba dalam 15 minit. Sampai sahaja dia rumah, aku segera ke dapur mengeluarkan barang-barang yang sudah dibeli dan ketika itu barulah aku sedari yang aku terlupa membeli serbuk kunyit. Si Capal Perak menawarkan diri untuk ke kedai membelinya, tetapi aku katakan tidak perlu. Ketika itu, pintu rumah diketuk, dan Cik Pah telah tiba!
Aku gorengkan ikan siakap dengan hanya melumurkan garam, dan biar kukatakan di sini, rasanya lebih enak berbanding melumurkannya bersama dengan kunyit! Supaya tidak terlupa, segara aku masakkan nasi.
Pukul 7, Si Capal Perak dan Cik Pah tidak sabar-sabar untuk makan. Pernah, ketika aku sedang menyediakan kuah masam manis untuk sang siakap, mereka berdua bergegas ke dapur kerana teruja dengan bau yang menyelubungi ruang rumah!
Kesimpulannya, ikan siakap masam manis dan toufu telur dalam sos tiram adalah hidangan panas pada hari itu. Asparagus berlada... rasanya tidak sesedap yang aku mahukan. Mungkin kerana asparagusnya sudah agak tua, maka manisnya sudah berkurangan.
Apa-apa pun, kedua-dua tetamuku tidur dengan kenyang malam semalam. Dan kau hanya akan faham perasaan menyediakan makanan untuk orang lain, jika kau ke dapur dan mula memasak. Kau tahu, melihat muka-muka meraka yang makan dengan penuh ekstasi, kau akan merasakan satu kepuasan yang tidak dapat dibayangkan.
3 Ramadhan pun berlalu.
p/s: maaf, tidak ada gambar yang dapat dipaparkan. Dalam keghairahan tukang masak menghidang dan keseronokan tetamu makan, tiada siapa yang teringat akan kamera! Oh!! Aku masih ada lebihan sos masam manis yang aku masukkan ke dalam peti sejuk. Mungkin aku akan sediakan juadah lain menggunakannya...
1 comment:
Salaam jade
Alhamdulillah. Menyiapkan makanan untuk orang berbuka puasa adalah sesuatu perbuatan yang baik lagi terpuji. Bulan puasa ini banyak membawa rahmat dan kebaikan. Teruja bila membaca menu yang dihidangkan. Minggu lepas saya mencuba resepi baru - kebab daging kambing.
Lepas ini, tak sabar rasanya untuk membaca kisah jade menunaikan solat terawih dan tadarus pula.....
Wassalam
Post a Comment