Sudah hampir dua minggu kita berpuasa...
Badan terasa semakin ringan, perut semakin kempis. Yeay! Itu adalah kebaikan sampingan bila kita berpuasa, bukan?
Hmm... tapi ada juga yang tidak dapat merasakan perubahan ini. Mana tidaknya? Hampir setiap hari berbuka secara buffet, kalau tidak di hotel-hotel lima bintang di restoran-restoran. Tidak salah untuk pergi berbuka di luar kerana mungkin inilah peluang untuk makan makanan yang pelbagai dan sedap di samping dapat berjumpa rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui. Tapi... janganlah berlebihan.
Bila kita berpuasa, kita mendidik perut kita untuk menerima makanan yang sedikit dan boleh menahan ketiadaan makanan untuk jangka waktu yang lama. Tetapi, sekiranya tiap kali berbuka kita makan dengan berlebihan, tubuh kita tidak akan dapat belajar. Malah, penat makin bertambah kerana kini sistem badan terpaksa bekerja keras untuk mencernakan makananan setelah dua belas jam berehat.
Setakat ini, aku berbuka secara buffet sekali sahaja. Minggu lepas sewaktu di Pulau Pinang, kerana menjamu rakan niaga dan pelanggan pejabat. Itu pun, aku tidak boleh makan banyak-banyak! Terasa membazir sungguh apabila melihat lebihan makanan yang kemudiannya di buang oleh pihak hotel.
Minggu ini ada jemputan untuk berbuka bersama-sama rakan-rakan lama. Memang aku hanya jumpa mereka ketika bulan puasa. Ketika inilah masing-masing sibuk bertukar-tukar cerita, tunjuk anak baru, tayang pasangan baru. :-p Apa pun, aku berasa seronok untuk berjumpa mereka, cuma aku tidak dapat membawa Capal Perak kerana dia bekerja. Tidak mengapalah, kan? Lain kali sahaja.
Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan berita sedih kehilangan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun, yang kemudiannya ditemui meninggal dunia secara kejam. Masyarakat asyik berbincang tentang samada ibubapanya perlu dipersalahkan, disamping mencerca pedofil yang bertanggunjawab.
Aku cuba untuk bersikap objektif, tetapi tidak terelak berasa kesal dengan sikap ibubapa yang mungkin memandang agak ringan anak-anak yang keluar masuk rumah. Aku tidak punyai anak, tetapi aku tidak dapat memahami ibubapa yang membiarkan anak-anak kecil berkeliaran sesuka hati. Maaf, ini pandangan peribadiku yang mungkin mendorong perasaan tidak puas hati di kalangan kalian.
Seingat aku, sewaktu berumur lapan tahun, aku tidak pernah dibiarkan keluar rumah begitu sahaja. Pergi ke sekolah dan pulang ke rumah menaiki bas sekolah. Pergi mengaji bersama-sama kawan. Mungkin ada ketika di mana aku terpaksa pergi bersendirian kerana terlambat. Aku mungkin singgah di kedai runcit dalam perjalanan pulang untuk membeli gula-gula. Tetapi kemudian terus pulang ke rumah. Apabila hendak pergi bermain di padang permainan, emak akan diberitahu and pantas sahaja dia akan menyuruhku pulang sebelum pukul 6.30 petang. Jika tidak, kelibat emak sudah dapat aku lihat di tepi padang bercekak pinggang.
Pengalaman sewaktu kecil ketika hendak pergi ke pusat membeli-belah. Sebelum keluar rumah, abah sudah menyuruh kami duduk di kerusi panjang di ruang tamu. Pesanannya mudah, kita keluar hanya untuk berjalan-jalan, kita tidak akan membeli apa-apa dan abah mahu kamu semua ada dekat dengan abah dan emak. Seingat aku, abah dan emak akan berada tidak jauh dari kami. Dan kami adik beradik akan sentiasa memastikan kami berjalan bersama-sama mereka.
Realiti zaman millenium sangat berlainan. Anak-anak dibiarkan berlari-lari dan berkeliaran bersendirian. Terjerit-jerit terpekik terlolong. Ibu dan ayah mereka sibuk mengacu baju kepada adik dan terlupa sebentar pada kakak atau abang. Fikirkan, berapa kali kita bisa melihat kanak-kanak yang berjalan tanpa pengawasan ibu bapa? Kebebasan untuk anak-anak kecil ada batasnya. Paling kurang, suruhlah anak itu jalan berdekatan.
Mungkin ada yang mengatakan aku membebel tanpa mengetahui apa-apa. Dan aku akan katakan, terpulanglah kau mahu berkata apa. Mendisiplinkan anak dewasa ini tiada bezanya dengan zaman dulu. Zaman sewaktu kau dan aku membesar. Semuanya terpulang pada ibu bapa. Ada orang yang mengatakan emak dan abah agak tegas mendidik kami adik beradik, tetapi aku bersyukur. Dan aku mengerti.
Buat ibu dan bapa di luar sana, jagalah amanah anda. Sekiranya anak itu perlu dirotan tapak tangannya kerana bersalah, rotankanlah. Kasihankan anak perlu berpada-pada. Sedikit ajaran tidak mungkin membuat dia membenci kita, bukan? Biarlah dia sakit kerana cubitan kita dari dia sakit akibat perbuatan keji manusia durjana.
Buat Nurin, aku doakan dirimu sejahtera bersamaNya. InsyaAllah keadilan itu pasti dan insan kejam yang memperlakukan dikau sebegitu akan dihukum. Berbahagialah kau di sana.
Dan sekiranya ibubapa yang lalai perlu dihukum, hukumlah mereka dengan belas kasihan. Kerana ada ketika, kita telah cuba sedaya upaya, namun ketentuan tetap berbeza. Mereka telah kehilangan permata hati, usahlah diburukkan lagi keadaan. Apa yang perlu, carilah si kejam yang durjana itu!
No comments:
Post a Comment