1 Ramadhan. Penggera jamku berbunyi tepat pada pukul 5:15 pagi. Lantas aku hulurkan tanganku ke meja sisi dan melihat nota yang terpapar. "Sahur!", katanya. Dan aku teringat, ahhh... ini hari yang kutunggu.
Mataku segera terbuka luas dan selimut tebal kuselak. Aku bergegas ke dapur untuk memasak air. Sedari semalam aku telah merancang untuk bersahur hanya dengan roti. Dewasa ini aku tidak berselera untuk makan yang berat-berat apabila bangun sahur.
Ahh.. aku terlupa. Kurma basah kegemaranku tidak kubeli dari awal. Dan kerana aku telah bercadang untuk pulang ke rumah mak dan abah untuk berbuka, kutangguhkan niat untuk membeli kurma.
Masak sahaja air di dalam cerek, aku dengan segera membuat kopi. Roti telah kusapukan mentega dan mentega kacang kegemaranku. Bersama-sama dengan segelas air kosong, aku beredar ke depan televisyen. Walaupun rumahku mempunyai meja makan, jarang sekali aku makan di situ. Lebih seronok makan sambil menonton tv. Aku segera menukar-nukar siaran dan berhenti apabila melihat filem "Bewitched" dimainkan.
Sekali toleh ke jam di dinding, dengan segera aku menghabiskan air yang masih bersisa di dalam gelas. Perutku terasa penuh. Filem berakhir tidak lama selepas itu. 1 Ramadhan telah bermula. Dan aku tersenyum.
Lewat pagi itu semasa bersiap untuk ke pejabat, aku berjanji untuk menjaga emosiku. Aku tiba di pejabat dengan senyuman di bibir. Tetapi dugaan tetap terjadi.
Menjelang tengahari aku tewas! Hah! Sungguh mengecewakan. Walaupun rakan sepejabat itu yang bersalah, aku seharusnya menahan diri. Kenapa hingga aku boleh terlupa prinsip diri? Selalunya, selepas menerima email yang boleh menimbulkan kemarahan, aku akan menahan diri dari memberi reaksi. Aku akan menghela nafas panjang, dalam-dalam. Beberapa kali. Tetapi tidak kali ini.
Aku berasa kesal. Dan kerana itu aku memilih untuk berdiam diri sehinggalah tiba waktu untuk aku meninggalkan pejabat. Aku keluar lebih awal untuk sampai ke rumah mak dan abah. Walaupun sudah begitu awal, aku masih mengambil masa lebih satu jam untuk sampai! Tetapi senyuman di bibir emak mengubat semua kepenatan.
Sekali intai di dapur, kulihat mak telah menyediakan lauk yang menyelerakan. Tiada yang istimewa. Hanya yang sedap dan mengundang aku untuk menunggu waktu berbuka dengan harapan supaya masa cepat berlalu.
Bila tiba waktu berbuka, kedengaran azan berkemundang sayup-sayup di kejauhan. Kami segera menjamah rutab dan meneguk air. Lega.
1 Ramadhan telah berlalu.
3 comments:
"Terasa seperti membaca sebuah novel." :D Selamat berpuasa!
Melayunya Jade hari ni. Hee hee.
vedd: Selamat berpuasa pada awak juga! ;-)
dnas: Sudah dua hari Jade berbaju kurung ke pejabat... He he he...
Post a Comment